Wednesday, December 9, 2009

KEMBARA KASIH-petikan dr BERITA HARIAN pada 10/12/.2009


MOHAMAD SYAZWAN menadah air yang dipam dari perigi dibina pelajar UTM di Kampung Chnnang, Kemboja, baru-baru ini.

Pelajar UTM beri sumbangan, laksana program kemasyarakatan di Kemboja

PELAJAR Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengorbankan 13 ekor lembu sumbangan pelbagai pihak untuk diagihkan kepada masyarakat Islam di Kemboja sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Pengarah program berkenaan, Mohamad Syazwan Padzir, berkata daging korban itu diberikan kepada kira-kira 250 keluarga muslim di Kampung Chnnang dan kawasan sekitar Siem Reap.

Selain itu, katanya, pihaknya juga menganjurkan majlis berkhatan membabitkan 137 kanak-kanak yang disempurnakan empat kakitangan perubatan Pusat Kesihatan Mahasiswa UTM.

Program dikenali sebagai Kembara Kasih anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Tun Dr Ismail dianggotai 22 mahasiswa dan 11 kakitangan itu antara lain bertujuan berbakti dan menjalinkan hubungan persaudaraan dengan masyarakat Islam di Kemboja.

“Di samping itu, kami turut menyampaikan pakaian, al-Quran, telekung, beras dan makanan sumbangan orang ramai berjumlah RM50,000,” katanya.
ISMAIL (dua dari kiri) dan pelajar UTM bertanya sesuatu kepada penduduk selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Chnnang

Mohamad Syazwan berkata, pihaknya juga berada seminggu lebih awal di kampung terbabit bagi membina masing-masing 10 perigi dan tandas.

“Kami juga menyerahkan tiga generator untuk membekalkan elektrik ke rumah penduduk di kampung terbabit.

“Kerja gotong-royong bersama penduduk turut diadakan, selain menganjurkan kelas Iqra membabitkan lebih 80 orang kanak-kanak dan mualaf yang dikendalikan pensyarah Fakulti Tamadun Islam UTM.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kebajikan Kemboja, Ismail Osman, mengalu-alukan kedatangan mahasiswa UTM dan menghargai sumbangan yang diberikan.

Beliau yang juga penaung Persatuan Persaudaraan dan Pembangunan Islam Kemboja turut menjadikan kediamannya di Kampung Chnnang sebagai penginapan sementara pelajar universiti itu ketika melaksanakan program berkenaan.

No comments:

Post a Comment